Berita Islami Masa Kini (BIMK) adalah sebuah komunitas yang beranggotakan organisasi-organisasi anggota, Driver Printer Panasonic, Brother, Driver Canon, Kyocera, Ricoh, Driver printer konika, dan masyarakat umum yang bekerja sama dalam mengembangkan standar Web Driver, Berita islam terkini, kumpulan situs berita islam ummat di indonesia

Sabtu, 27 Desember 2014

Hadist Nabi Tentang Kelebihan Penduduk Yaman

Hadist Nabi Tentang Kelebihan Penduduk Yaman



NILAI KOTA TARIM, HADRAMAWT

Tarim merupakan sebuah kota lama yang penuh bersejarah, terletak di tenggara jazirah Arab di negara Yaman. Berperanan sebagai ibukota wilayah Hadramawt, Tarim diambil namanya bersempena seorang penguasa di situ yang bernama Tarim bin Hadramawt yang diyakini hidup tiga ribu tahun sebelum kemunculan Islam. Nama lain bagi Tarim adalah al-Ghanna yang merujuk kepada banyaknya pohon-pohon yang tumbuh serta sungai-sungai yang mengalir di situ.


Kota Tarim adalah unik lagikan istimewa, malah sentiasa menjadi fokus pengunjung dan penziarah dari merata ceruk alam atas cirinya sebagai tempat yang penuh barakah, berperanan sebagai markaz besar bagi para aulia’ dan alim ulama tersohor, khususnya dari golongan zuriat atau ahlul-bait Rasulullah SAW semenjak turun temurun, samada yang masih hidup mahupun yang telah wafat, hidup dan bernafas dengan tradisi ilmu yang kental, amalan-amalan Islam yang suci murni termasuk yang bersangkutan dengan sunnah, adab dan akhlak Rasulullah SAW secara zahir mahupun batin. selain kegiatan dakwah Islamiyahnya yang semarak ke merata dunia tidak berkeputusan.

Alim-ulama mutakhirin sangat mengkagumi Kota Tarim, bahkan menganggap bahawa hanya tiga kota suci, iaitu Mekah al-Mukarramah, Madinah al-Munawwarah dan Baitul Maqdis sahaja yang mengatasi kelebihan Kota Tarim berdasarkan Hadith Rasulullah SAW tentang keutamaan ketiga-tiga kota tersebut.

Ini tidaklah menghairankan kerana sahabat Rasulullah SAW yang paling teraula, iaitu Sayyidina Abu Bakar RA pernah mendoakan tiga perkara terhadap penduduk Tarim, iaitu memohon Allah SWT agar memakmurkan kota tersebut, memberkati mata airnya serta mendoakan kelahiran para solihin dan auliya Allah secara tidak berkeputusan di kota barakah in. Alhamdulillah ternyata doa Sayyidina Abu Bakar RA ini dimakbulkan Allah SWT sehingga bumi Tarim sentiasa melahirkan generasi demi generasi golongan alim ulama serta para auliya’ Allah yang sentiasa menjadi panutan umat Islam bukan sahaja di wilayah Hadramawt sendiri, malah menjangkaui sehingga ke berbagai pelosok dunia ini.

Malahan berkat doa Sayyidina Abu Bakar RA ini, masyarakat Tarim sendiri mendapat tempiasnya sehingga lahirlah golongan penduduk yang berperibadi mulia seperti bersifat pemalu, rendah diri, saling mengasihi, qana’ah (menerima seadanya) dan beramanah, selain berpegang kuat pada tradisi keislaman yang mana Mazhab Syafiee manjadi mazhab utama di tempat ini secara turun temurun.

Kota Tarim sangat istimewa kerana berfungsi sebagai markaz besar para ahlul-bait Rasulullah SAW dari jurai Ba-Alawi yang mula bermastautin di situ semenjak tahun 521 Hijrah. Mereka terkenal kuat dalam memegang ajaran serta tradisi salaf, malahan alim-ulama dari berbagai disiplin ilmu juga sentiasa dilahirkan secara sambung menyambung di bumi barakah ini.

Tarim juga terkenal dengan bilangan masjidnya yang banyak, mencakupi lebih 360 buah, suatu jumlah yang besar jika dibandingkan dengan keluasan kota dan jumlah penduduknya. Sebahagian daripada masjid-masjid ini telah berumur ratusan tahun dan sering dilazimi oleh ahli-ahi makrifat, para aulia’ Allah dan rijal ghaib (wali yang tidak dikenal) secara tidak berkeputusan, contohnya Masjid Jamik Tarim, Masjid Ba Alawi, Masjid as-Segaf, Masjid al-Muhdor, Masjid Awwabin, Masjid al-Fath dan banyak lagi. Dikatakan di Tarim terpendam tiga macam barakah iaitu barakah turbah-turbahnya, barakah bukit-bukaunya serta barakah masjid-masjidnya sehingga umat Islam digalakan untuk bertabarruk dengannya.

Tarim merupakan tempat persemayaman para pemimpin wali. Dalam kitab Masyraur Rawi disebutkan bahawa di Tarim terdapat tiga kompleks pemakaman yang utama dan tersohor, iaitu Pemakaman Zanbal yang merupakan kompleks pemakaman ahlul-bait Rasulullah SAW yang paling besar, diantaranya terdapat para ulama, aulia’ dan solihin yang jumlahnya tidak terhitung.Dalam hal ini Syeikh Abdul Rahman as-Segaf pernah berkata bahawa di pemakaman Zanbal sahaja bersemayam lebih 10,000 para tokoh aulia, yang mana 80 daripada mereka telah mencapai darjat Wali Qutub (puncak kewalian).

Tidak jauh daripada makam Zanbal pula terletak lokasi makam 70 para sahabat Rasulullah SAW yang pernah bersama baginda dalam perang Badar, jaraknya sejauh lemparan batu daripada makam Imam al-Faqih Muqaddam.

Selain itu, terdapat juga Pemakaman Furaith yang diambil namanya bersempena bukit di sekitarannya. Alim-ulama dan para wali juga banyak dimakamkan di sini dengan bilangan yang mencakupi lebih 10,000 orang.

Dikatakan bahawa di bawah Bukit Furaith terdapat kebun dari perkebunan syurga sehingga pernah disebut oleh Syeikh al-Akmal Hassab al-Wariy bin Ali bin Muhammad Mauladawilah:” bahawa orang yang menziarahi makam Tarim dengan ikhlas, bakal terlepas dari dosa-dosanya seperti bayi yang baru dilahirkan dari rahim ibunya.” Disebutkan juga dalam kitab Jauharus Syaffaf, bahawa para ahli makrifat yang menziarahi pemakaman Tarim akan sentiasa memberikan penghormatan serta pemuliaan yang tinggi dan khusus.

Berdekatan Kota Tarim pula wujud lokasi yang mana terdapat makam Nabi Allah Hud AS yang dipelihara rapi dan tradisi ziarahnya dilakukan pada setiap bulan Shaaban, selain makam Nabi Allah Soleh AS di lembah Sarr serta makam-makam waliyullah yang lain mahupun peninggalan-peninggalan sejarah yang banyak bertaburan di merata tempat, masih dijaga dan dikunjungi oleh para pencinta waliyullah, ahlul-bait Nabi SAW dari dalam mahupun luar negara.

Kota Tarim juga terkenal sebagai pusat ilmu dan dakwah. Jika kita mengimbau lintasan sejarah silam, iaitu seawal zaman tabit-tabiin, alim-ulama dan para waliyullah yang membawa syiar Islam ke merata pelosok alam, khususnya di rantau Asia Tenggara seperti Malaysia, Singapura, Indonesia, selatan Siam, Kemboja, Brunei dan selatan Filipina, sebahagiannya adalah hasil keringat, perjuangan dan pengorbanan dari alim-ulama ahlul-bait Nabi SAW yang datang dari wilayah Hadramawt, termasuk dari Kota Tarim ini.

Malahan Allah SWT dengan rahmat dan rahimNya telah terus memilih para ulama dari wilayah ini untuk meneruskan legasi leluhur mereka, yang mana pada hari ini di Kota Tarim telah wujud tiga pusat ilmu dan dakwah yang tersohor dan terkemuka di dunia iaitu RUBAT TARIM, DARUL MUSTAFA (dan DARUL ZAHRA untuk muslimat) serta UNIVERSITI Al-AHQAF (berpusat di Mukalla tetapi mempunyai cawangannya di Tarim). Ketiga-tiga pusat ilmu ini telah memberikan sumbangan yang amat besar dalam melahirkan beribu-ribu kader agama yang dengan mereka tersebarlah ilmu dan amalan Islam yang tulen, selain mengukuhkan tali ikatan antara sadah alawiyyin dengan muhibbin di merata belahan dunia.

Kesimpulannya, Tarim adalah kota yang mulia dan agung atas kewujudan ramai ulama dan auliya’ yang sentiasa menyuburkan bumi tersebut dengan keredupan perilaku serta kearifan mereka dalam memegang, memelihara, mentarbiyah serta mendakwahkan tradisi ajaran-ajaran Islam dengan segala keasliannya secara turun temurun, apatah lagi ramai diantara mereka adalah tidak lain melainkan bertitisan zuriat Rasulullah SAW sendiri. Diantara nama-nama ulama dan aulia’ Tarim yang terdahulu adalah seperti Imam Ahmad al-Muhajir (induk leluhur sadah alawiyyin), Imam Faqeh al-Muqaddam (pelopor awal Tariqat Ba Alawi), Imam Abdul Rahman as-Seqaf, Imam Abdullah al-Haddad (pengukuh dan pembaharu Tariqat Ba Alawi), Syeikh Umar al-Mudor, Habib Ahmad bin Umar as-Syathiri dan ramai lagi, serta alim-ulama terkini seperti Habib Salim bin Abdullah as-Syathiri, Habib Hassan as-Syathiri, Habib Ali Masyur bin Hafidz, Habib Umar bin Hafidz, Habib Kazhim, Habib Zaid Ben Yahya, Prof Dr Habib Abdullah Baharun dan lain=lain lagi.

Rahmat dan kurniaan Allah tidak putus-putus mencucuri bumi barakah ini. Maka nyatalah isyarat yang di pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW : “ aku menghidu nafas ar-Rahman dari arah Yaman”

Rasulullah SAW juga pernah bersabda: “Penduduk Yaman datang, mereka lebih lembut hatinya. Iman ada pada orang Yaman. Fekah juga ada pada orang Yaman. Kemudian hikmat juga ada pada orang Yaman. “

(H.R. Bukhari)
Hadist Nabi Tentang Kelebihan Penduduk Yaman Diposkan Oleh:

0 comments:

Posting Komentar