• Hikmah tsunami Aceh Saban minggu, sekolah-sekolah akan mengadakan lawatan melihat tinggalan sejarah Aceh dan tsunami. FOTO: Koleksi peribadi penulis
JAM 7.58 pagi waktu Aceh, 26 Disember 2004

Mujiburrizal yang baru pulang dari bandar sedikit kaget apabila mendapati gegaran berlaku. Keadaan jadi kecoh. Ramai yang keluar dari rumah. Gegaran selama 10 minit itu menimbulkan kebingungan kerana Aceh tiada pengalaman menghadapi situasi ini.

Orang terpinga-pinga melihat beberapa bangunan yang runtuh akibat gegaran itu. Lebih kurang 15 minit selepas itu, kedengaran orang memekik: "Air laut naik! air laut naik!" diselangi bingit bunyi kenderaan dan orang bertempiaran.

Mujib yang menyangkakan air hanya pasang tinggi sekadar menyediakan persalinan untuk solat. Namun, ketika dia melangkah keluar dari rumahnya air hitam dilihat mengalir di jalan-jalan. "Kiamat ke hari ini?" hanya itu yang terpacul dari bibirnya.

Mujib bergegas membawa keluarga dan jiran-jiran naik ke tingkat dua rumah jirannya. Dalam beberapa saat selepas itu air sudah berada diparas leher. Pada waktu itu, Aceh menjadi lautan. Alhamdulillah, ALLAH SWT hantarkan sebuah bot nelayan yang tersangkut betul-betul di sebelah rumah tempatnya dan seramai 54 orang penduduk yang berada di situ pada hari tersebut kesemuanya selamat.

Hari ini, genap sedekad peristiwa tsunami yang menggegarkan dunia itu berlaku. Bagi Mujib dan kebanyakan penduduk Aceh, ia bagaikan baru kelmarin terjadi. Bayangan ngeri itu sentiasa bermain-main di ruangan mata.

Jika kita melawat Banda Aceh kini, mungkin tidak kelihatan lagi runtuhan  akibat kejadian tersebut. Segalanya telah diperbaiki hasil sumbangan dan bantuan dari seluruh dunia. Namun, kebanyakan kesan-kesan tsunami masih dikekalkan untuk tatapan pelancong.

Mujib yang kini bertugas sebagai duta Muzium Aceh, selepas Tsunami Jepun berlaku pada tahun 2010 seorang wartawan dari media Jepun pernah bertanya, mengapa Aceh masih lagi mengekalkan tinggalan peristiwa hitam ini, bahkan dipelihara dan dijadikan monumen?

DI Jepun, segala kesan dibersihkan sehingga tiada kesan lagi.

"Mungkin orang lain melihat peristiwa ini sebagai suatu bencana alam sahaja. tetapi, bagi Aceh yang rata-rata penduduknya beragama Islam menganggap tsunami adalah satu teguran dan peringatan daripada Tuhan.

"Justeru, Aceh memelihara tinggalan akibat dari tsunami untuk dijadikan iktibar dan pengajaran kepada generasi kemudian," terang Mujib.

Rata-rata penduduk Aceh melihat tsunami lebih daripada sekadar bencana. Sebaliknya, ia adalah peluang untuk Aceh membuka kembali ‘buku baru’ bagi negeri itu dengan meninggalkan segala kepahitan yang lalu.

Buka pintu kepada dunia